TANGKAP layar dalam laman sosial mengenai kejadian samun di Klinik kecurian Bandar Botanik, Klang semalam. - UTUSAN ONLINE

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, kejadian yang dilakukan dua suspek dipercayai warga tempatan itu disedari seorang jururawat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku apabila jururawat terbabit meletakkan alat pengecas bateri tambahan atau power bank dan alatan klinik di atas meja saringan sebelum pergi ke bilik lain buat sementara waktu.

"Bagaimanapun, sejurus berpatah balik ke bilik saringan, dia menyedari kehilangan kesemua barangan tersebut iaitu tiga mesin pemeriksaan gula dan satu mesin pemeriksaan oksigen telah dicuri dua individu yang melarikan diri menaiki kereta jenis Nissan Almera berwarna putih.

"Suspek juga bertindak melanggar beberapa kenderaan dan palang kawalan keselamatan klinik tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, pihaknya kini telah mengenal pasti kedua-dua suspek dan sedang mengambil tindakan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular dalam laman sosial dua lelaki warga tempatan melakukan rompakan di klinik kesihatan tersebut dengan bersenjatakan parang dan pisau. - UTUSAN ONLINE