RAMLI KASA
RAMLI KASA 

Ketua Polis daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil soal siasat polis ke atas suspek pertama yang diberkas di lokasi kejadian semalam.

“Suspek kedua iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan kekerasan ditahan kira-kira pukul 12.15 pagi ini di Taman Bintang Gemas Baru, Johor.

“Suspek ketiga juga seorang lelaki berusia 37 tahun yang memiliki lima rekod jenayah kekerasan ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah hotel di Melaka,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ramli berkata, polis merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di Tangkak, Johor dan dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan jenayah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam, dua lelaki bermotosikal gagal menyamun wang tunai sebanyak RM43,000 daripada pengurus stesen minyak berusia 65 tahun di hadapan sebuah bank di Gemas dekat sini.

Salah seorang suspek iaitu pekerja di sebuah kebun durian di sini berjaya diberkas oleh orang ramai, manakala seorang lagi suspek yang menunggu rakannya itu dengan sebuah motosikal sempat melarikan diri dari lokasi kejadian.

Semasa kejadian, mangsa mahu mendepositkan wang RM43,000 hasil jualan stesen minyak di bank berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/393 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE