Memetik laporan portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mangsa berusia 39 tahun itu dijumpai oleh pekerjanya sekitar pukul 10.16 pagi dan kemudian terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan anggota paramedik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Awang Din memberitahu, siasatan di lokasi kejadian mendapati kejadian tersebut tiada unsur-unsur jenayah.

“Tarikh bedah siasat belum dapat ditentukan oleh pihak forensik HUS dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki ditemukan mati di sebuah rumah di Jalan Sungai Apong, di sini sekitar pukul 9.30 pagi.

Difahamkan mangsa berusia 51 tahun itu berasal dari Jalan Nokes, Sungai Apong di sini.

“Turut ditemukan di lokasi kejadian ialah nota dipercayai tulisan tangan mangsa yang meminta maaf kepada anak dan isterinya kerana tidak lagi dapat bekerja dan menyara keluarga disebabkan keadaannya yang tidak sihat,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE