Tangkapan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dengan dibantu IPD Kampar itu dilakukan secara berasingan di Kampar dan Sungai Siput semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, tangkapan pertama pada pukul 4.30 petang itu melibatkan pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail berusia 56 tahun yang ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Pelangi di Kampar.

Katanya, tangkapan turut dilakukan terhadap seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an di Kampung Baru, Sungai Siput Selatan pada pukul 5.45 petang hari yang sama.

“Berdasarkan soal siasat yang dilakukan, suspek pertama mengaku sebagai pemilik SUV itu dan telah menyerahkan kenderaan tersebut kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Ah Hong dengan bayaran sebanyak RM300.

“Tangkapan kedua pula memberitahu dia mengenali Ah Hong kerana pernah bekerja bersama lelaki itu dan bertindak sebagai orang perantara antara pemilik kenderaan tersebut dan Ah Hong,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kerian sini hari ini.

Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan Ah Hong dan pihaknya percaya lelaki itu adalah seorang daripada dua suspek yang melarikan diri sejurus kemalangan berlaku.

Katanya, Ah Hong dan seorang lelaki lain yang juga warga Myammar itu dipercayai dalang kepada kegiatan penyeludupan 16 PATI tersebut.

“Kedua-dua suspek yang ditahan itu kini direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Pengeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi itu, kenderaan yang dinaiki oleh kesemua 16 warga Myanmar yang terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita itu telah terbabas sehingga menyebabkan tiga daripada mereka tercampak keluar dari kenderaan dan maut di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE