Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, penghuni salah sebuah rumah itu menyedari kejadian tersebut kira-kira pukul 3 pagi.

"Suspek dipercayai masuk ke kawasan rumah itu melalui tepi rumah yang tidak berpagar dan memotong jeriji tingkap dapur untuk masuk ke dalam rumah.

"Suspek sempat melarikan sebuah telefon bimbit yang diletakkan di tepi tingkap nako yang dipotong. Kerugian dialami kira-kira RM200," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, sebuah rumah lain di kawasan sama turut dimasuki penjenayah dan kejadian itu hanya disedari oleh penghuninya pada pukul 5 pagi.

Menurut beliau, suspek dipercayai masuk ke kawasan rumah itu melalui tepi rumah yang tidak berpagar sebelum memotong jeriji tingkap berhampiran bilik air untuk masuk ke dalam rumah tersebut.

Jelas beliau, suspek melarikan kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang automatik (ATM), wang tunai kira-kira RM400 dan sebuah telefon bimbit.

"Kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE