Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, kedua-dua wanita berusia 43 dan 21 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas gambar mereka disiarkan menerusi Facebook Ibu pejabat Polis (IPD) Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima laporan daripada penyelia kedai berusia 28 tahun berhubung kejadian yang berlaku Khamis lalu.

Katanya, penyelia itu mendakwa menyedari dua wanita yang masuk ke premis tempat kerjanya dalam mencurigakan dan disyaki mencuri barangan jualan mereka.

“Apabila penyelia memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedua-dua wanita terbabit dilihat memasukkan barangan produk kecantikan yang dianggarkan bernilai RM140 ke dalam beg.

“Mereka kemudian keluar daripada premis berkenaan tanpa membuat pembayaran,” lapor Sabah Post hari ini.

Nasri berkata, kedua-dua suspek yang ditahan mengaku melakukan kesalahan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.- UTUSAN ONLINE