Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kedua-dua mereka yang sedang tidur dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki memakai topeng dan berpakaian gelap.

Dua daripada suspek dengan seorang daripadanya memegang parang bertindak mengikat tangan dan kaki kedua-dua beradik tersebut dengan tali.

Mereka kemudiannya diugut agar tidak melihat apa yang dilakukan kesemua perompak itu jika tidak mahu dibunuh.

Selain itu, mulut kedua-dua mangsa juga ditutup dengan kain sebelum Keempat-empat suspek melarikan sebuah kereta Honda City, telefon bimbit (3) dan wang tunai berjumlah RM1,000.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang mangsa.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai masuk ke dalam kediaman tersebut melalui pintu dapur.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 dan 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE