Perbuatan lelaki berusia 40 tahun yang sering bertindak kasar ke atas kanak-kanak itu di rumah mereka di Simpang dekat sini terbongkar setelah anak lelakinya yang berusia 12 tahun mengadu tentang perlakuan suspek kepada jiran mereka.

OSMAN MAMAT
OSMAN MAMAT 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian terbaru yang berlaku ke atas kanak-kanak lelaki berkenaan pada Selasa lalu apabila dia dimarahi dan dipukul bapanya menggunakan rotan.

Katanya, perbuatan itu ekoran kegagalan mangsa untuk membeli barang dapur seperti yang disuruh bapanya.

“Bapa mangsa menyuruh anaknya itu membeli barang dapur tetapi mangsa tidak mempunyai wang. Ini menyebabkan lelaki terbabit berang dan memarahi mangsa sebelum memukulnya menggunakan rotan di punggung, betis dan lengan.

“Mangsa kemudiannya mendapatkan bantuan jiran dan telah dibawa ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Osman, selain kanak-kanak lelaki itu, kakaknya yang berusia 15 tahun turut didera dan siasatan mendapati dia telah diperlakukan sedemikian sejak berusia 12 tahun.

Katanya, pemeriksaan fizikal ke atas dua beradik itu mendapati terdapat kesan kecederaan lama dan baharu pada tubuh kanak-kanak lelaki itu manakala tiada kesan kecederaan jelas pada tubuh kakaknya.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut dan bapanya yang bekerja di sebuah pusat hiburan telah ditahan semalam.

“Lelaki itu direman sehingga Isnin ini untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya. - UTUSAN ONLINE