Kedua-dua lelaki berusia 27 dan 33 tahun yang berkerja sebagai mekanik itu ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu berperanan sebagai penggerak untuk mencuri kereta dengan menyasarkan kenderaan lama yang diparkir di tepi jalan.

Mereka kemudian mengumpil pintu dan memotong wayar bagi menghidupkan enjin sebelum melarikan kereta serta meletakkan kenderaan terbabit berhampiran premis kedai dan kondominium.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 27 tahun itu mempunyai 41 rekod lampau berkaitan kes curi kenderaan, dadah serta pecah rumah.

“Seorang lagi lelaki berusia 33 tahun terlibat dengan dua kes dadah.

“Kita juga sedang memburu seorang lagi suspek berusia lingkungan 30-an dikenali sebagai Bingai bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di IPD Sungai Buloh.

Tambah Shafa’aton, siasatan mendapati lelaki tersebut dipercayai bertanggungjawab mencari pembeli sebelum menjual kenderaan tersebut dengan harga RM500 hingga RM1,000.

“Kes disiasat Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE