Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa yang tertarik selepas dijanjikan keuntungan lumayan menghubungi nombor telefon yang disertakan bersama mesej WeChat pelaburan yang diterimanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa kemudiannya berkomunikasi dengan seorang wanita Cina kononnya dari Hong Kong yang mendakwa ejen People Global Premium Investment yang menawarkan pelaburan cepat untung.

Katanya, mangsa kemudian bersetuju membuat pelaburan sebanyak RM146,876.20 tetapi dipengaruhi untuk menambah nilai pelaburan sehingga mencecah RM181,209.35 dan dijanjikan mendapat pulangan tersebut dalam masa dua bulan bersama modal pelaburan.

"Mangsa telah membuat sebanyak 22 transaksi pindahan deposit tunai di Butterworth di sini ke dalam dua akaun bank tempatan, namun masih diminta untuk membuat tambahan bayaran.

"Mangsa tidak bersetuju dan berasa tertipu dengan ejen tersebut setelah pelbagai alasan diberi apabila bertanyakan hal pulangan pelaburan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, siasatan kini dijalankan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan seperti itu dan tidak membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan di laman web. - UTUSAN ONLINE