Mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang doktor di dalam laman sosial Facebook yang mendakwa menetap di Cyprus sejak awal bulan lalu yang memberitahu akan ke negara ini untuk urusan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada perempuan Melayu mendakwa daripada Jabatan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memaklumkan rakannya itu ditahan atas kesalahan membawa wang tunai berjumlah AS$40 juta.

Menurut beliau, pegawai berkenaan memaklumkan kes itu boleh diselesaikan sekiranya mangsa membayar wang jaminan berjumlah RM30,000.

Ujarnya, disebabkan simpati terhadap rakannya itu yang merayunya membuat bayaran, mangsa kemudian melakukan dua transaksi deposit tunai berjumlah RM10,400 ke dalam akaun diberikan yang dikatakan milik ejen pegawai Jabatan Kastam selain diminta supaya perkara tersebut dirahsiakan.

"Mangsa kemudiannya dipaksa membuat tambahan bayaran bagi mencukupkan RM30,000, namun memberitahu tiada wang.

"Dia kemudian ke balai polis untuk mendapatkan pandangan sebelum diberitahu telah ditipu sindiket African Scam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah menambah kenalan yang tidak dikenali di Facebook.

"Jangan sesekali mudah mempercayai panggilan meminta wang dari individu yang tidak dikenali sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan," katanya. - UTUSAN ONLINE