Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi semalam itu, mayat suami isteri berusia 27 dan 31 tahun itu ditemukan oleh pemilik rumah berkenaan.

Ketika ditemukan, mayat suami berada dalam keadaan tergantung pada alang di dalam bilik rumah sewa rumah berkenaan manakala mayat isteri ditemukan di atas katil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komissioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan dibunuh suaminya dengan cara melemaskan mangsa.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat dilemaskan dengan perbuatan yang disengajakan.

“Kemungkinan besar si isteri dilemaskan dengan objek yang lembut seperti bantal atau tuala dan waktu kematian wanita ini dianggarkan berlaku dalam masa di antara 24 hingga 36 jam,” katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, ketika ditemui, keadaan mayat si isteri terbaring atas katil secara terlentang berselimut sehingga ke paras dada dengan muka bengkak serta mulut berdarah ditutupi tuala kecil berwarna putih.

“Mayat si suami yang berumur 31 tahun ditemukan dalam keadaan terjerut tergantung dengan kain sari yang dililit pada kayu kekuda atas bilik.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang objek atau senjata yang digunakan dalam kes ini, hanya bantal dan tuala,” katanya.

Tambahnya, saksi utama kejadian iaitu pemilik kepada rumah sewa tersebut mendapati pernah ternampak pasangan suami isteri tersebut bergaduh tetapi tidak begitu serius sepanjang sebulan menyewa di rumah tersebut. - UTUSAN ONLINE