Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Suprintenden Lee Chong Chern berkata, berdasarkan keputusan hasil bedah siasat mendapati mangsa, Damian Wati dipercayai dipukul sebelum lemas dalam parit di lokasi kejadian.

“Itu keputusan bedah siasat yang dilakukan dari pukul 10.45 pagi hingga 3.45 petang hari ini ke atas mangsa bunuh di Kota Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan polis hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan lanjut kes masih dijalankan.

Jelasnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti identiti mangsa.

“Mangsa berusia 20 tahun dan ibu bapanya merupakan warga asing tetapi difahamkan dia (mangsa) dilahirkan di Sarawak,” jelasnya.

Menurut sumber, mangsa dipercayai dijaga sejak kecil oleh keluarga angkat yang merupakan warga tempatan di kawasan Landeh.

Khamis lalu, lima warga tempatan dan berusia dalam lingkungan 20-an ditahan dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Mayat mangsa ditemukan dengan keadaan tangan diikat ke belakang di dalam parit dengan kesan luka pada mata kanan, dagu, rahang dan leher di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian, 15 Julai lalu.

Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.-UTUSAN ONLINE