Keputusan itu dibuat Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand terhadap tertuduh, Charnchai Sitthiphan, 62, dan isterinya, Phitsinee Sitthiphan, 60.

Murtazadi turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Charnchai dan Phitsinee didakwa bersama-sama mengeksport bahagian hidupan liar iaitu tiga kepala babi hutan atau nama saintifiknya Sus scrofa di dalam sebuah kereta jenis Toyota Yaris tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan di laluan eksport Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra di Durian Burung, Padang Terap, dekat sini kira-kira pukul 3 petang, 23 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 65 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun.

Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mohamad Refaee Abdul Hamid, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Charnchai dan Phitsinee yang berasal dari Songkhla, Thailand tidak membayar denda tersebut. -UTUSAN ONLINE