Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, operasi yang bermula pukul 3 pagi hingga 11 pagi itu melibatkan enam buah kampung sekitar daerah ini.

Katanya, hasil soal siasat mendapati pelajar anak tunggal yang tinggal bersama ibu, nenek dan bapa tiri itu mengakui baharu lima bulan terlibat dengan pengambilan pil kuda kerana ingin mencuba.

Menurutnya, mengikut pengakuan pelajar itu lagi, dia sudah lebih sebulan tidak hadir ke sekolah dan suka melepak bersama kawan-kawan basikal lajak sehingga larut malam.

"Kesemua yang ditahan berumur antara 14 hingga 42 tahun itu telah menjalani ujian air kencing dan positif dadah jenis Methamphetamine," katanya ketika ditemui di pejabat AADK Besut dekat sini hari ini.

Noor Hafizza berkata, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998.

Tambahnya, pelajar tingkatan dua itu kini ditahan selama 24 jam di lokap Balai Polis Kuala Besut manakala tujuh yang lain ditahan di Lokap AADK sementara menunggu untuk proses reman esok. - UTUSAN ONLINE