Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang itu disedari oleh penyelia pasar raya berkenaan selepas mendapati beberapa kotak susu, susu tin, minyak masak, pelbagai jenis pakaian dan penyembur serangga hilang dari rak selepas melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kesemua suspek berumur antara 17 hingga 60 tahun itu dipercayai telah masuk ke pasar raya tersebut sebelum melarikan diri dengan menggunakan kereta Proton Saga berwarna putih.

“Hasil siasatan mendapati sewaktu kejadian, penyelia berkenaan sedang memunggah barang dari lori dan melihat suspek mengambil beberapa jenis barangan tanpa membuat bayaran di kaunter.

“Oleh itu, penyelia tersebut telah menghubungi Balai Polis Pusing untuk meminta bantuan dan memaklumkan kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Adnan berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah berjaya mengesan suspek di Stesen Minyak Petron Pusing pada pukul 6.30 petang serta merampas bara­ngan dicuri yang disembunyikan di dalam but kenderaan.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.  

“Semakan turut mendapati nenek dan anak perempuannya itu masing-masing mempu­nyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes curi manakala dua cucunya tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.