Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mereka yang dipanggil memberi keterangan kira-kira pukul 3 petang semalam adalah empat murid berusia 12 tahun di samping tiga guru dan ibu mangsa. Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat.

Katanya, ketika ini kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Pelajar yang terlibat dalam kes buli ini adalah seramai tiga orang. Polis juga telah merampas telefon yang dipercayai digunakan bagi merakam kejadian tersebut untuk dianalisa.

“Mulanya mereka bergaduh berdua dan akibat rasa tidak puas hati, murid berkenaan kemudian memanggil kawannya untuk memukul mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rakaman berdurasi 1 minit 26 saat itu tular di laman sosial Facebook sejak tengah hari semalam yang memaparkan seorang murid dipukul oleh sekurang-kurangnya tiga murid lelaki lain sambil dirakam rakan mereka.

Menurut Mohd. Zamri, mangsa tidak mengalami kecederaan teruk namun, difahamkan masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE