Syarikat Toh Loh Construction Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Chung Hoong Kong, dijatuhi denda berkenaan selepas menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari ini, yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan.

Hoong Kong turut menukar pengakuan bersalah bagi pertuduhan kedua dihadapi syarikat itu, namun Hakim Wan Mohd. Norhisham Wan Yaakob hanya memberikan amaran terhadap Orang Kena Saman (OKS) terbabit untuk pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa melonggokkkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran dan pertuduhan kedua, melakukan perbuatan sama ke atas sisa pepejal isi rumah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua lot tanah di Plentong, dekat sini pada pukul 3.15 petang, 17 Julai 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Iffa Zarilla Abd. Rahman manakala syarikat OKS diwakili peguam Lu Hon San.

Secara berasingan, syarikat CK Kim Trading yang diwakili pengarahnya, Lee Keow Heok dijatuhi denda berkenaan selepas mengaku bersalah bagi perbuatan sama melonggokkan sisa pepejal pembinaan di tanah rezab Tenaga Nasional Berhad, Taman Impian Emas di sini, pada pukul 11.56 pagi, 22 November 2018.

Syarikat Nine Three Three Renovation & Enterprise yang diwakili pengurusnya, Lee Wai Ping juga mengaku bersalah bagi perbuatan sama yang dilakukan di Kampung Ladang Darat, Tanjung Kupang di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari, 30 Januari lalu.

Pendakwaan bagi dua kes itu dijalankan Pegawai Pendakwa daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rosmawati Rabial Hashim dan Rubiah Maulud, manakala kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam.

Semua syarikat didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan semua syarikat dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit. - UTUSAN ONLINE