Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia 32 tahun dan seorang rakan sekerja sedang bekerja di pub berkenaan.

“Semasa bekerja, mereka didatangi dua suspek yang menunggang motosikal dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan lalu menyerang mereka dengan parang.

“Mangsa menahan serangan suspek dengan tangan, lelaki itu cedera parah sehingga hilang fungsi jari telunjuk kiri dan cacat kekal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah pada tahun 2017.

Susulan kejadian itu, Shahurinain berkata, polis menahan dua kontraktor masing-masing berusia 25 dan 34 tahun yang datang berhibur bersama dua rakan lain di pub berkenaan sebelum dipercayai terlibat dalam pertengkaran dengan mangsa.

Kedua-dua mereka, tambahnya, ditahan pada Khamis lalu dan direman enam hari sehingga esok.

“Dua suspek lagi masing-masing berusia 35 dan 29 tahun dan bekerja sebagai peniaga ditahan semalam dan direman lima hari sehingga Sabtu ini, kedua-dua mereka membuat pengakuan menetak mangsa menggunakan parang,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar bandar raya ini dan tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah serta ada dikehendaki polis bagi kes dadah.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE