Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu yang dalam perjalanan membawa pelancong dari Jeti Teluk Bahang ke Monkey Beach di sini, ditahan pada jarak kira-kira 0.1 batu nautika dari Utara Tanjung Pandan, Teluk Bahang, pukul 3.30 petang semalam.

Katanya, ketika ditahan seorang operator bot lelaki warga tempatan berumur 20 tahun berada di atas bot tersebut.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan Sijil Kompetensi, lesen bot tamat tempoh dan beroperasi tanpa perlindungan insuran bot.

“Selain itu, operator bot tersebut juga disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki penagih dadah.

“Bot berkenaan bersama operator bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, Pulau Pinang untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Hamizan menegaskan, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan negeri ini bagi mencegah aktiviti yang melanggar undang-undang negara

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemilik bot pelancong supaya mematuhi segala peraturan dalam pengoperasian bot pelancong serta menggaji operator bot yang bebas daripada masalah sosial.

“Orang awam juga diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. - UTUSAN ONLINE