Pengarah Zon Maritim Malaysia Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot dinaiki tiga nelayan itu ditahan kira-kira jam 12 tengah malam pada kedudukan kira-kira 3.5 kilometer dari Tanjung Parapat.

Katanya, pemeriksaan pada sistem data juga mendapati ini merupakan kesalahan berulang kali kelima membabitkan bot nelayan yang sama.

“Kebanyakan bot yang melakukan aktiviti ini akan menjalankan aktiviti mereka pada lewat malam dan awal pagi serta biasanya akan bergelap supaya tidak dapat dikesan oleh pihak penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nelayan mengambil mudah terhadap undang-undang demi keuntungan segera.

Beliau berkata, aktiviti menunda di kawasan yang tidak dibenarkan ini akan merosakkan batu karang dan menjejaskan keseimbangan ekosistem alam.

Jelas Chin Chau, bot terbabit beserta ketiga-tiga nelayan yang berusia di antara 35 ke 41 tahun yang ditahan dibawa ke Jeti Awam Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Tambahnya, para majikan serta pemilik-pemilik bot perlu sentiasa peka dengan aktiviti dan pergerakan pekerja mereka.

“Pastikan tekong bot memahami serta mengetahui akan undang-undang dan peraturan yang sedia ada sebelum diberikan tugas mengendalikan bot,” katanya. - BERNAMA