Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, bayi itu disahkan meninggal dunia pada 3 Julai pukul 10.45 pagi oleh pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HUKM) Cheras.

“Seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh pengasuhnya dari sebuah Apartment di Bandar Tasik Selatan ke HUKM,” katanya.

Mohamed Mokhsein memberitahu, rawatan resasutasi dilakukan terhadap pesakit bayi itu namun dia tidak menunjukkan tindak balas dan tanda-tanda hayat.

“Pesakit kemudian telah disahkan meninggal dunia. Bedah siasat telah dijalankan pada hari yang sama.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru,” ujarnya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – UTUSAN ONLINE