Che Som Abdullah, 63, memangku mayat cucunya untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi dibedah siasat hari ini.

Mangsa sebelum itu ditemukan dalam keadaan lemah di sisi ibu kandungnya dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar Ceneh Baru pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah beralamat Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru Kemaman kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah ini, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian disedari bapa bayi berkenaan ketika pulang ke rumah untuk menghantar makanan kepada isterinya.

Menurutnya, pada masa itu bapa mangsa bertanyakan isterinya sama ada mahu makan atau sebaliknya namun wanita itu menjawab bahawa dia telah menghantar anaknya itu ke syurga.

Jelasnya, terkejut dengan jawapan isterinya yang merupakan seorang suri rumah, bapa bayi tersebut melihat anaknya itu dalam keadaan lemah di sisinya isterinya sebelum mengesyaki sesuatu berlaku ke atas mangsa.

"Bapa mangsa yang juga seorang guru telah bertindak membawa bayinya itu ke Klinik Kesihatan Bandar Cheneh Baru untuk mendapatkan rawatan dan pihak paramedik telah berusaha memberi bantuan kecemasan kepada bayi berkenaan.

"Bagaimanapun bayi berkenaan telah disahkan meninggal dunia sejurus selepas menerima rawatan oleh pegawai perubatan yang memeriksa bayi berkenaan, " katanya.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Bandar Cheneh Baru kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Mayat bayi berkenaan kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat lewat petang ini.

Hanyan berkata, mangsa dipercayai mati didera berdasarkan pemeriksaan awal yang dijalankan oleh pegawai perubatan klinik berkenaan.

Menurut Hanyan, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE