Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, penahanan kesemua individu itu dilakukan selepas Unit Risikan Marin mendapat maklumat mengenai pergerakan sebuah bot pam yang mencurigakan di perairan Tinagat.

“Seorang juragan berusia 63 tahun bersama empat penumpang berusia antara 27 hingga 47 tahun itu dilakukan pada pukul 9.30 malam.

“Kesemua penumpang mengaku datang dari Filipina dan masuk ke daerah ini dengan membayar RM400 setiap seorang kepada juragan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, kesemua yang ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran.

Tambahnya, bot pam dan beberapa barangan termasuk pakaian peribadi penumpang bernilai RM3,000 dirampas. - BERNAMA