Terbaharu, satu serbuan dilakukan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di lakukan di sebuah pusat judi di Rawang, Selangor menyaksikan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun antara ditahan bersama kedua ibu bapanya.

Susulan serbuan dilakukan oleh Mohamad Fuzi bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan Ketua Polis Sela­ngor, Datuk Mazlan Mansor, satu notis telah dikeluarkan.

Notis itu melibatkan pertukaran jawatan 24 jam dikeluarkan terhadap seorang pegawai kanan polis.

Fuzi sendiri dalam kenyata­annya mengesahkan bahawa pertukaran pegawai kanan terbabit dalam tempoh 24 jam disebabkan kegagalannya menangani masalah judi daerah itu dan terdapat beberapa lagi Ketua Polis Daerah serta pegawai lain akan ditukarkan.

Malah, beliau turut mene­gaskan bahawa tindakan itu sebagai pengajaran kepada semua Ketua Polis Negeri dan Daerah kerana bersikap sambil lewa dalam membendung ke­giatan jenayah judi di kawasan mereka.

Tindakan Fuzi boleh dilihat sebagai sesuatu bukan melulu. Amaran menukarkan mana-mana anggota polis termasuklah Ketua Polis Negeri yang cuba melindungi kegiatan tersebut di seluruh negara telah ditegaskan sejak Oktober tahun lalu.

Bukan sahaja Mohamad Fuzi, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah memberi arahan sejak Oktober 2014 supaya Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai ‘membersihkan’ pusat judi haram dalam tempoh seminggu atau tindakan tegas akan diambil.

Ingatan dan amaran sudah diberikan sekian lama dan kini, sudah tiba masanya Mohamad Fuzi bertindak tegas dalam pe­rintahnya supaya tidak ada lagi pegawai polis yang terus ‘tidur’.

Terdapat beberapa negeri dilihat berusaha keras membanteras jenayah antaranya Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang menubuhkan lapan pasukan khas terdiri daripada dua pasukan kontinjen dan enam pasukan dari setiap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD).

Kesemua pasukan tersebut ditugaskan setiap hari untuk memantau lokasi perjudian baru dan melakukan serbuan terhadap pusat judi.