Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, setakat ini, masih belum ada tangkapan dibuat dan pihaknya menerima dua laporan polis.

“Masih belum ada tangkapan dan siasatan masih lagi berjalan,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman memaklumkan, sebuah lori tangki berwarna merah dilihat penduduk membuang bahan kimia ketika hari kejadian.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa juga mengesahkan terdapat 21 bahan kimia terlarang di kolam takungan tersebut dan ia sedikit bernasib baik kerana kolam itu tidak bersambung dengan mana-mana saliran.

Sementara itu, LUAS dalam makluman terbaharunya menjelaskan, kerja-kerja mitigasi serta pembersihan di kolam berkenaan masih berjalan dan dijangka selesai esok.

“Keadaan semasa kolam takungan dan saliran longkang yang tercemar, kerja-kerja pembersihan masih dijalankan,” jelas LUAS. – UTUSAN ONLINE