Kejadian berlaku pada pukul 6.25 petang semasa mangsa bersama dua rakannya yang bertugas di Zon 2, Lebuh Raya Utara Selatan, berhenti untuk memeriksa sebuah kereta jenis Mazda dinaiki dua lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, walau bagaimanapun kedua-dua lelaki berusia 30-an itu enggan memberikan kerjasama sebaliknya bertindak merempuh anggota polis terbabit.

“Berikutan itu, salah seorang anggota tersebut telah melepaskan beberapa das tembakan tetapi kedua-dua lelaki berkenaan berjaya meloloskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Adzli seterusnya berkata, kereta dinaiki kedua-dua lelaki itu kemudian ditemukan ditinggalkan di sebuah kawasan semak berhampiran Mahkamah Sungai Petani di Jalan Ambangan Heights di sini, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, setelah dipercayai terbabas.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan topi keledar serta peralatan menghisap dadah,” katanya.

Adzli memberitahu, sebelum kejadian, kira-kira pukul 5.30 petang, kedua-dua lelaki tersebut dilihat berada di Kilometer 115, Lebuh Raya Utara Selatan untuk membantu mangsa kemalangan membabitkan dua buah motosikal.

“Namun berikutan salah faham, kedua-dua lelaki itu bertindak agresif dan cuba merempuh anggota-anggota polis tersebut yang memberhentikan kenderaan untuk turut sama membantu.

“Mereka (kereta) kemudian ditemukan di HSAH sebelum diminta keluar untuk pemeriksaan,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, polis kini ingin mengesan seorang M. Gobinath, 33, dari Georgetown, Pulau Pinang, yang mempunyai tiga rekod jenayah, termasuk samun, dadah dan pecah rumah untuk membantu siasatan kes itu.

Adzli menambah, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE