Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, mangsa berusia 48 tahun cedera pada belakang leher dan telinga selepas ditoreh dengan sebilah pisau oleh anaknya yang berusia 22 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd. Samad berkata, suspek yang tidak bekerja dikatakan terdengar bisikan yang membuatkannya marah sebelum bertindak mengambil sebilah pisau dan menoreh mangsa yang ketika itu sedang makan.

“Kejadian ini disedari ibu suspek yang berusia 45 tahun apabila terdengar bunyi kekecohan selepas lelaki itu meluru keluar dari biliknya dan menuju ke bahagian dapur.

“Ibu suspek yang mendengar jeritan terus ke dapur dan melihat suaminya dalam keadaan berlumuran darah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan selepas kejadian itu dan siasatan mendapati dia sering mengalami gangguan halusinasi.

“Dia yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu pernah menjalani pemeriksaan dan rawatan kemurungan di Hospital Bukit Mertajam pada September 2014 dan dibekalkan ubat penenang.

“Selepas itu suspek dikatakan tidak pernah dirujuk ke hospital kerana ibunya mendapati dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Shafee berkata, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Parit Buntar, Perak dan menerima 10 jahitan pada belakang kepala dan luka pada telinga sebelum dirujuk ke Hospital Taiping, Perak bagi pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek negatif ujian saringan dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE