Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian berlaku pada pukul 5 pagi semasa warga emas berusia 70 tahun itu dan isterinya bangun untuk menunaikan solat Subuh.

"Mangsa bagaimanapun mendapati anaknya meletakkan motosikal jenis Suzuki di dalam rumah lalu meminta supaya ia dialihkan keluar.

"Anak lelakinya marah kerana ditegur dan bertindak agresif dengan menendang meja dan mesin basuh. Suspek kemudian pergi ke dapur dan mengambil parang pendek.

"Dia mengejar bapanya dan berkata 'nanti aku bunuh kau'. Mangsa yang dalam ketakutan terus lari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kejadian tersebut disaksikan oleh isteri mangsa yang berada di dapur.

Katanya, mangsa telah membuat laporan polis dan susulan itu suspek ditahan di rumah tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah dan lima rekod berkaitan dadah.

"Lelaki terbabit telah ditahan reman selama empat hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut," katanya. - UTUSAN ONLINE