Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan

Suspek diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di B Lorong Jalan Kampung Baru 1, Batu 4, Binjai di sini pukul 7 petang semalam dan turut merampas dua kunci rumah milik mangsa daripada suspek.

Ketua Polis Daerah ini, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek berjaya ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam setelah disyakki terbabit dalam kejadian di Kampung Baru Binjai, Kilometer 6 Jalan Air Putih di sini, kelmarin.

Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati satu transaksi jual beli gelang emas bernilai RM10,000 dilakukan di sebuah kedai pajak gadai dekat sini dan barangan kemas itu didapati telah dijual pada 7 September lalu.

"Kira-kira pukul 8.30 pagi kelmarin, mangsa, Robiyah Salleh, 52, berada di rumahnya di Kampung Baru Binjai di  Kilometer 6 Jalan Air Putih di sini sebelum mendapati barang kemas milik mangsa dan milik keluarga telah lesap dari dalam laci di dalam bilik utama.

"Mangsa mengesyaki ada orang telah masuk ke dalam rumah lalu dia buat laporan polis di Balai Polis Cukai pukul 10.45 pagi. Bertindak atas maklumat pihak polis membuat siasatan dan berjaya menemukan gelang emas berharga RM10,000 yang telah dijual di sebuah kedai pajak gadai di daerah ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Hanyan, jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM27,450 dan antara barang kemas yang hilang termasuk seutas gelang tangan, dua bentuk cincin, seutas rantai leher dan sepasang subang.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas dadah dan dia kini direman selamat empat hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.- UTUSAN ONLINE