Mohammad Ashraf yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25 kilometer (km).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye ketika mengesahkan status itu berkata, ini kerana pihak kementerian belum menerima apa-apa notis berhubung status kerja beliau daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Walaupun mangsa masih belum ditemui tetapi selagi tiada apa-apa (arahan bertulis) daripada SPA maka Acap masih lagi petugas kementerian.

“Jadi secara amnya pembayaran gaji beliau masih berjalan sehinggalah ada arahan selanjutnya daripada pihak SPA,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Hentikan Penderaan Peringkat negeri Perak di Mydin Mall Meru di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Jelas Boon Chye, pihak SPA mempunyai prosedur tertentu yang perlu diambil kira berhubung tatacara bagi menamatkan kontrak atau status pekerjaan penjawat awam.

Pada 23 Mac lalu, Acap yang berasal dari Muar, Johor, disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat.

Kehilangan Acap menjadi tumpuan masyarakat dengan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan hingga hari ini oleh bomba selain sukarelawan yang datang dari segenap pelusuk negara. - UTUSAN ONLINE