Menurut Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, ikan bilis itu dirampas dalam satu pemeriksaan pukul 11 pagi semalam di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini.

Tambah beliau, rampasan melibatkan nilai kira-kira RM11,473 itu dibuat ketika pemeriksaan terhadap sebuah kontena dari Myanmar.

“Kontena yang membawa ikan bilis itu didapati tidak mempunyai suatu import permit (IP) yang sah daripada MAQIS.

“Perbuatan mengimport ikan bilis tanpa permit yang sah adalah suatu kesalahan dibawah seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zarina, kes itu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duannya sekali.

Tambahnya, MAQIS memainkan peranan penting dalam memastikan segala bahan pertanian yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada penyakit selain mempunyai sijil bagi bahan makanan yang berkaitan untuk membolehkan rakyat membeli barangan di pasaran tanpa rasa bimbang.

“Sehubungan itu, semua pihak pengimport perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam menjaga biosekuriti negara bagi memastikan setiap hasil pertanian dan produk makanan yang diimport adalah selamat, berkualiti dan halal,” katanya. - UTUSAN ONLINE