Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, seramai 143 orang dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan pihak keluarga tidak memaklumkan semula kepada polis berhubung kepulangan anak mereka dan menyebabkan jumlah diberi itu bukan yang terkini.

“Daripada 143 orang hilang daripada tempoh 2015 hingga tahun ini, seramai 56 masih dilaporkan hilang masing-masing melibatkan 28 lelaki dan 28 perempuan dengan statistik tertinggi direkodkan di bawah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

“Ini diikuti IPD Kulai (10 orang), IPD Iskandar Puteri (lapan orang), IPD Johor Bahru Selatan (tujuh orang), IPD Seri Alam (lima orang), IPD Kota Tinggi (empat orang) dan IPD Batu Pahat, IPD Kluang serta IPD Pontian masing-masing dua orang manakala IPD Segamat seorang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad.

Mohd. Khalil berkata, antara sebab mereka hilang atau keluar rumah adalah kerana mengikut rakan, mengikut kekasih atau tekanan perasaan dan keluarga.

Justeru, beliau menyeru orang ramai memaklumkan kepada pihak polis apa jua perkembangan terkini mengenai orang hilang termasuk kepulangan mereka ke pangkuan keluarga supaya pegawai penyiasat dapat mengemas kini siasatan dan statistik. - UTUSAN ONLINE