Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya sentiasa memantau pelajar sekolah yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah khususnya pil kuda supaya tidak menular di kawasan sekolah.

Katanya, pemeriksaan ke sekolah-sekolah terbabit boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Kita berharap pihak sekolah dan ibu bapa telus dan tidak menyembunyikan pelajar-pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah demi menjaga imej sekolah.

“Setakat ini kita melihat di sekolah daerah ini terkawal dan kita sedang giat mengawasi aktiviti secara dekat untuk tindakan susulan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Sukan dan Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Star, di sini hari ini.

Sempena karnival sukan itu,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang juga turut mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di sekolah berkenaan.

Mohd. Taufik dalam pada itu berkata, kes tangkapan berhubung penagihan dadah di daerah ini meningkat sejak kebelakangan ini berbanding dengan kegiatan jenayah.

“Kita harap ibu bapa mengambil berat pergerakan anak-anak mereka selepas pulang dari sekolah atau waktu malam apabila keluar rumah.

“Selain itu, penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah menengah juga harus diberi perhatian sebelum menular lebih serius,” katanya. - UTUSAN ONLINE