Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri, Lily Rosalind berkata, rampasan itu adalah hasil penahanan sebuah lori oleh kakitangannya pada 19 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen sah dikeluarkan MAQIS dan sijil kesihatan veterinar dari negara asal.

“Negara kita melarang pengimportan daging babi dari China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium bagi mengelakkan kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit.

“Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta produk babi proses,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Lily, kesemua sosej babi itu telah dimusnahkan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan risiko penyakit ASF dapat dicegah.

Tambahnya, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah seksyen 11(3), Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara,” ujar beliau.

Katanya lagi, hal ini boleh menyebabkan pihak kerajaan menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal selain boleh menjejaskan industri ternakan babi di negara ini. - UTUSAN ONLINE