Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3.48 juta dalam operasi berkenaan.

"Sebanyak 621 individu ditahan kerana terlibat membekalkan dadah, memiliki dadah (1,912), dan positif dadah (4,900).

"Dalam operasi itu juga, kita merampas 17,859 gram syabu, ketamin (35.84 gram), pil erimin 5 (99.40 gram), pil yaba (2,834 gram), ekstasi (4,121 gram), ganja (1,521 gram) dan heroin (4,405 gram) yang dianggarkan bernilai RM3.48 juta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam.sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Dua Hala ke-12 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dengan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di Hotel Grand Ion Delemen, di sini, hari ini.

Ujar Mohd. Khalil, operasi besar-besaran itu akan diteruskan bagi memastikan misi untuk melakukan 'kacau ganggu' dan mengurangkan kegiatan dadah serta merobohkan sarang penagihan di seluruh negara berjaya.

"Selepas operasi ini, kami akan terus menjalankan pemantauan di sarang penagihan yang digempur untuk memastikan kegiatan itu tidak berulang semula di lokasi berkenaan.

"Serbuan dan operasi kita juga akan dijalankan berpandukan maklumat orang awam. Sebaik sahaja operasi dilancarkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 94 maklumat disalurkan orang awam kepada kami mengenai kegiatan dadah melalui talian hotline, 012 2087222," jelasnya. - UTUSAN ONLINE