Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, berikutan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan memeriksa semula kawasan seluas 10 hektar yang telah diliputi oleh pasukan berkenaan hari ini dalam misi esok.

Katanya, pasukan itu yang terdiri daripada 171 orang telah dibahagikan kepada empat zon yang meliputi beberapa kawasan termasuk bahagian utara sehingga anak air, pesisir sungai, pinggir jalan besar dan pinggir hutan tebal.

"Dalam pencarian hari ini, kita masih belum menemukan remaja itu. Belum ada sebarang petanda atau petunjuk yang dapat membantu usaha ini.

"Petang tadi, pasukan SAR turut dibantu Unit Udara polis yang akan datang semula esok pagi untuk meneruskan pencarian," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Pantai dekat sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan dan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar.

Kehilangan Nora Anne disedari adiknya kira-kira pukul 8 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada pemilik resort.

Mereka kemudian berusaha mencari remaja tersebut di sekitar resort tetapi gagal menemukannya.

Keluarga dari Ireland itu yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak telah tiba untuk bercuti di resort berkenaan kira-kira pukul 7 pagi kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menafikan Nora Anne menjadi mangsa penculikan seperti yang dilaporkan oleh media luar negara.

Jelasnya, berdasarkan kepada maklumat, keterangan dan bukti yang dikumpulkan sehingga kini tidak menunjukkan sebarang elemen jenayah dan kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

"Kita terus menyiasat keterangan daripada keluarga mangsa dan kenyataan daripada pekerja resort," ujarnya.

Beliau juga yakin tidak ada dalam kalangan pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam operasi SAR itu yang memberikan kenyataan kepada media asing kononnya kes itu adalah penculikan seperti didakwa media asing.

- UTUSAN ONLINE