Kesemua individu terbabit termasuk empat wanita ditahan oleh SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa serbuan berasingan bermula pukul 11 hingga 6 petang di Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, empat wanita dan dua lelaki itu masing-masing ditahan di Pendang, Kedah; Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta di Puchong, Seri Kembangan, Kapar dan Hulu Langat, Selangor.

“Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun itu ditahan kerana dipercayai menularkan maklumat palsu berkenaan hingga mencetuskan kebimbangan khususnya umat Islam di negara ini.

“Dalam operasi ini kita meram­pas telefon bimbit, kad sim, komputer riba dan kad memori yang di­­gunakan bagi tujuan me­­nyebarkan maklumat palsu itu di Facebook. Mereka kemudian di­serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Jelas Mohd. Shafie, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengenal pasti lapan lagi individu yang dipercayai turut terlibat dengan kegiatan menularkan maklumat palsu sama di laman sosial Facebook dan usaha memburu mereka sedang dijalankan.

“Kita memberi amaran kepada orang ramai agar tidak memuat naik sebarang ulasan bersifat palsu dan kegagalan mereka me­ngawal kandungan mendedahkan mereka berdepan dengan tindakan mahkamah.

“SKMM dengan kerjasama pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati melanggar undang-undang mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.