Ops Perdana yang dijalankan bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam itu bertujuan menangani masalah penyalahgunaan dadah dan mengurangkan kadar jenayah.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anuar Ahmad berkata, operasi tersebut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dijalankan di sekitar Sitiawan, Lekir dan Pantai Remis.

“Semua yang ditahan berusia antara 17 hingga 53 tahun. Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

“Ketika serbuan dijalankan terdapat beberapa individu cuba merempuh anggota kerana mahu melarikan diri namun mereka berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat AADK Manjung di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Penguatkuasa AADK negeri Perak, Azman Hashim dan Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan untuk menghisap dadah, tiga bungkus air ketum dan ubat batuk.

Katanya, semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah(APD) dan Subseksyen 6(2) Akta Penagih Dadah.

“Operasi pencegahan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, dari Januari hingga Jun lalu, sebanyak 295 Ops AADK telah dilaksanakan dan Ops bersepadu pula sebanyak 135.

“Jumlah positif saringan awal dari Januari hingga Jun pula sebanyak 1,307,” katanya. - UTUSAN ONLINE