Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, tindakan itu akan diambil selepas pihaknya menerima laporan akhir daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh dua bulan.

Katanya, buat masa kini kelima-lima anggota yang didapati positif dadah ketika sa­ringan awal ujian air kencing pada 4 Oktober lalu itu dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa dengan kenaikan pangkat diterima hari ini.

“Pemeriksaan air kencing oleh AADK itu adalah proses biasa yang dilakukan dari semasa ke semasa khususnya ketika kenaikan pangkat atau tamat latihan untuk memastikan kakitangan di jabatan bebas pengaruh dadah mahupun rasuah.

“Namun ketika pemeriksaan, mereka didapati positif dadah. Jika keputusan akhir menunjukkan mereka benar-benar terlibat dalam pe­nyalahgunaan dadah, tindakan diambil berdasarkan pekeliling perkhidmatan awam bermula dengan amaran atau turun pangkat atau dibuang kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Kursus Asas dan Pemakaian Tanda Pangkat Pemeriksa Lesen Gred AB29 di Perkhemahan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Princess Haliza, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan lima anggota JPJ yang sedang menjalani kursus kenaikan pangkat sebagai pegawai pemeriksa lesen didapati positif dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan AADK.