Serbuan pertama dilakukan di sebuah restoran di Batu 9 Cheras yang disyaki menyediakan aktiviti tidak bermoral dengan harga bermula RM100 hingga RM500.

Pelanggan bukan sahaja dijamu dengan makanan, tetapi turut mendapat servis ‘ekstra’ menerusi ‘gadis kalung bunga’ yang juga merupakan wanita warga asing.

Ketika serbuan, kebanyakan wanita berkenaan cuba melarikan diri ke kawasan belukar di bahagian belakang restoran namun berjaya digagalkan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan bersepadu Op Gegar yang bermula pukul 11 malam hingga 1.30 pagi itu turut menyerbu dua lagi lokasi iaitu kelab malam di Cheras dan Solaris Mont kiara, di sini.

“Menerusi serbuan di kelab di Solaris Mont Kiara, terdapat wanita warga asing yang cuba melarikan diri menggunakan laluan khas namun berjaya dihalang kerana kawasan tersebut telah dikepung terlebih dahulu.

“Tiga serbuan ini telah berjaya menahan 43 wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu 17 dari Vietnam, Thailand 21, Laos (1) dan Korea, empat orang. Tiga lelaki warga Bangladesh bersama seorang lelaki Pakistan turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hamidi, majoriti PATI yang ditahan masuk ke dalam negara sebagai pelancong.

Tambahnya, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imiresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. - UTUSAN ONLINE