Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika dua lelaki masing-masing memandu dua buah kenderaan pacuan empat roda, dalam perjalanan ke kelantan dengan membawa barang kemas milik majikan.

Bagaimanapun, suspek yang menaiki sebuah 'kepala lori' telah bertindak melanggar kenderaan pekerja berkenaan sebelum melarikan empat beg berisi barangan kemas.

Difahamkan, barangan kemas tersebut dibawa dari rumah majikan mereka yang terletak di kawasan perumahan berhampiran.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, sebaik sahaja dua buah kenderaan mangsa dilanggar, suspek yang menaiki lori itu kemudiannya menghampiri mangsa dengan bersenjatakan parang.

Katanya, kesemua suspek yang memakai topeng itu bertindak merampas empat beg mengandungi barangan kemas sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang sedang dikenal pasti.

"Dalam rompakan itu, dua suspek dipercayai menaiki lori manakala dua lagi menaiki kenderaan yang tidak diketahui. Siasatan mendapati lori yang digunakan itu adalah lori yang dicuri di Klang pagi tadi.

"Seorang pekerja berusia 30-an mengalami kecederaan setelah terkena serpihan cermin yang pecah akibat dilanggar lori berkenaan dan sedang dirawat di hospital," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Anuar, usaha mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang digunakan untuk melarikan diri sedang dijalankan dengan menggerakkan semua elemen polis

Tambah beliau, pihaknya juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang lokasi kejadian bagi mengetahui gambaran sebenar kes tersebut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu suspek sedang dilakukan," katanya. - UTUSAN ONLINE