Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Sarawak, Komander Hamiludin Che Awang berkata, penahanan itu adalah hasil daripada risikan dan penyamaran yang dijalankan oleh Maritim Malaysia dalam usaha mengekang pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

“Ketika dikesan, keempat-empat buah bot itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati jumlah hasil laut yang telah dicuri sebanyak 42.5 tan, mengandungi pelbagai jenis ikan, selain membawa diesel sebanyak 37,870 liter,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, di sini hari ini.

Tambah Hamiludin, hasil pemeriksaan ke atas 44 individu termasuk tekong dan awak-awak juga mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua tekong dan awak-awak yang berusia antara 16 hingga 54 tahun itu kemudian ditahan dan kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985.-BERNAMA