Dalam serbuan berasingan itu, pihak polis turut menahan sembilan lelaki berusia 31 hingga 61 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan serta pengedaran rokok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan pertama dijalankan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di Matunggong pada 20 Ogos lalu, pihaknya menahan dua lelaki dalam sebuah kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, penahanan kedua-dua suspek telah membawa kepada penemuan sebuah rumah di Kudat yang menyimpan sebanyak 8,130 bungkus rokok pelbagai jenama dan 2,232 minuman keras.

“Kita juga merampas wang tunai RM18,000, sebuah beg tangan Gucci, telefon bimbit jenama Xiaomi dan keseluruhan barangan rampasan dianggarkan bernilai RM500,980.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Kudat dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, pihaknya menahan sebanyak tujuh lelaki tempatan dalam serbuan di Kajang, Selangor pada 21 Ogos lalu.

Jelasnya, dalam serbuan itu, sebanyak 28,870 karton rokok dan kretek seludup dianggarkan bernilai RM4.37 juta turut dirampas.

“Turut disita, empat buah lori dan tiga kereta jenama Mercedes Benz E200, Proton Waja dan Toyota Vios. Jumlah barang rampasan dianggarkan bernilai RM4.61 juta.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua tangkapan dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan mengedar rokok seludup di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Menurut Acryl Sani, kesemua suspek kini direman sea tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Selasa depan dan siasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek memilik rekod jenayah lampau.- UTUSAN ONLINE