Penahanan itu dibuat menerusi Ops Ice Breaker yang digerakkan oleh sekumpulan anggota polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula pukul 12 tengah hari semalam hingga tengah malam tadi.

Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun yang bekerja sebagai buruh, nelayan dan penganggur.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas bahan-bahan yang disyaki dadah jenis heroin seberat 60.1 gram; syabu (20 gram) dan ganja (2.3 gram) daripada 30 penagih yang ditangkap.

“Dadah tersebut adalah bagi kegunaan sendiri selain dijual di dalam pot dengan nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan RM5,500.

 

“Ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis MOP, methaphetamine dan THC,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B; 39A(2); 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan memasukkan dadah ke dalam badan.

 

Dalam pada itu, beliau menegaskan, polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas sarang-sarang penagih dadah yang berada di daerah ini.

Jelasnya, Ops Ice Breaker itu juga akan mengambil masa selama lapan hari melibatkan pencegahan di kawasan atau sarang yang telah diserbu supaya dapat dihapuskan dan ditutup sepenuhnya.

 

“Sehubungan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan jenayah yang melibatkan pengedar dan penagih di daerah ini selain boleh menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222,” katanya. - UTUSAN ONLINE