Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang Jumaat lalu ketika ketiga-tiga remaja terbabit yang berusia antara 12 hingga 15 tahun dalam perjalanan untuk memancing.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda EX-5 dan lori itu dari arah yang sama iaitu Ayer Paabas menghala ke Paya Datuk.

“Penunggang motosikal yang berusia 12 tahun tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan pemandu lori berusia 60 tidak sempat mengelak lalu melanggar serta menyeret motosikal dinaiki mereka.

“Berikutan itu, penunggang dan salah seorang pembonceng mengalami patah kaki kanan selain cedera di muka manakala seorang lagi pembonceng mengalami kecederaan pada anggota badan selain paru-paru bocor,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rakaman video mengenai kemalangan itu tular dalam laman sosial namun didakwa membabitkan sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak yang dirempuh sebuah kenderaan.

Menurut Hasan Basri, kesemua tiga remaja terbabit dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dan kesemua mereka dikesan tidak memiliki lesen memandu.

Kes ini katanya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE