Mohd. Shahirullnizam Mohd. Shariff, 24,; Mohamad Abdullah Mohamed Noah, 30, dan Sopian Othman, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama telah melakukan samun berkumpulan bersenjatakan parang ke atas pasangan suami isteri, Goh Kim Lee, 77, dan Lim Lay Hong, 70, dengan merampas sebuah dompet serta beg tangan berisi barangan peribadi mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya di sini kira-kira pukul 8.30 pagi pada 6 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dan memohon syarat tambahan diberikan terhadap tertuduh.

Mohd. Shahirullnizam merayu jaminan rendah dapat diberikan manakala Mohamad Abdullah dan Sopian memberi alasan perlu menanggung keluarga masing-masing termasuk ibu mereka.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan atau jaminan ditarik balik serta merta.

Beliau turut memerintahkan kesemua tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 April depan sebagai sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE