Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.20 pagi.

"Mangsa, seorang pemandu Grab berusia 25 tahun sedang berehat dalam keretanya yang diletakkan di kawasan letak kenderaan, sebelum didatangi tiga suspek yang bersenjatakan parang dengan menaiki sebuah kenderaan.

"Mangsa yang bimbangkan keselamatan dirinya bertindak mengikut arahan penjenayah sebelum barangan peribadi mangsa iaitu dompet berisi RM540 dan dua buah telefon bimbit dicuri," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Tambah Shahrulanuar Mushaddat, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya.

"Polis sedang mengesan kesemua suspek terlibat berdasarkan maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan dengan mengunjungi mana-mana balai polis terdekat," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkawan menggunakan senjata. - UTUSAN ONLINE