Bertindak hasil risikan serta maklumat orang awam, operasi selama lapan jam bermula pukul 8 malam semalam itu disertai 20 pegawai dari Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Perak.

Sewaktu serbuan dibuat, terdapat warga asing cuba melarikan diri ke kawasan perumahan dan hutan berhampiran, malahan ada yang cedera di kepala ketika cuba meloloskan diri daripada dicekup pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 72 individu telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara.

“Daripada jumlah itu, seramai 29 ditahan melibatkan 11 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga Indonesia, empat wanita dan seorang lelaki warga Thailand, dua wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

“Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 24 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kamalludin, berdasarkan maklumat yang diterima, operasi dijalankan di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan berkenaan di Mukim Ulu Kinta, disyaki telah menggaji warga asing tanpa pas sah.

Beliau berkata, siasatan awal pula mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

“Mereka ditahan untuk siasatan serta tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Langkap,” katanya. - UTUSAN ONLINE