Kesemua mereka ditahan dalam Ops Belanja oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen negeri dalam operasi yang bermula pukul 3 petang tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Muhamad Husni Mahmud, operasi itu dijalankan hasil aduan orang awam berhubung tindakan vendor yang mengambil bahagian dalam karnival tersebut yang menggajikan pekerja asing tanpa mengikut saluran sah.

Tambah beliau, mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 45 tahun dengan masing-masing 15 lelaki warga India; 11 lelaki Pakistan serta seorang lelaki warga Bangladesh dan Yaman.

“Seramai 13 orang yang ditahan didapati menyalahgunakan permit kerja manakala 15 yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,”katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Menurut Muhamad Husni, ketika pemeriksaan dilakukan, warga asing berkenaan memberikan pelbagai alasan bagi melepaskan diri termasuk kononnya hadir sebagai pengunjung karnival itu selain untuk berjumpa rakan-rakan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut dan intipan pihaknya sejak beberapa hari lalu mendapati mereka yang ditahan sememangnya bekerja sepanjang karnival berkenaan sekali gus melanggar syarat dokumen perjalanan masing-masing.

Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan notis kepada majikan warga asing yang ditahan untuk hadir memberi keterangan kepada Jabatan Imigresen negeri bagi membantu siasatan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke ibu pejabat Jabatan Imigresen negeri untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru bagi tindakan lanjut,”katanya. - UTUSAN ONLINE